Mengapa Suami yang Curang Mesti Dimaafkan


Dalam kehidupan kita, tentu ada individu-individu yang pernah melakukan kesalahan terhadap diri kita, dan kita jadi sangat kecewa serta sakit hati terhadapnya. Tetapi kita tidak dapat mengelak daripada memandang wajahnya.

Setiap hari kita akan terpandang mukanya, ataupun mahu tidak mahu kita terpaksa tengok mukanya. Dia mungkin ketua kita. Dia mungkin jiran kita. Dia mungkin pasangan kita sendiri. Dia mungkin rakan sekerja kita.

Apabila orang itu bersalah tetapi kita tidak dapat memaafkan kesalahannya, akibatnya kita akan membenci dia. Orang yang kita benci pasti tahu bahawa kita membencinya. Perasaan benci adalah perasaan yang sukar disembunyikan.

Apabila orang yang bersalah dan kita benci itu adalah ketua kita sendiri, situasi kerja menjadi sangat sukar bagi diri kita, tetapi kurang sukar bagi ketua kita.

Ketua kita mempunyai banyak kuasa ke atas kita, dan dia dapat melakukan banyak perkara bagi melayan diri kita sebagai orang bawahan yang telah melakukan kesalahan terhadap dirinya.

Apabila orang yang bersalah itu adalah pasangan kita sendiri, situasi lebih menyukarkan diri kita sendiri. Kita tidak mahu memaafkan kesalahannya, tetapi pada yang sama kita tidak mahu memutuskan hubungan yang ada dengannya, disebabkan faktor ekonomi, anak-anak, nama baik dan lain-lain kepentingan yang terpaksa kita jaga.

Isteri yang tidak mahu memaaafkan suaminya pasti akan melayan suaminya sebagai orang yang bersalah.

Seorang suami yang telah melakukan kesalahan, dan dia tahu bahawa isterinya tidak memaafkan kesalahannya itu, dia tidak mungkin menyukai keadaan di mana dia terus dilayan oleh isterinya sebagai seorang yang bersalah. Akibatnya, dia berasa sangat tidak puas hati dengan perhubungannya dengan isterinya itu.

Andai kata pada suatu ketika kita telah mendapat tahu suami kita pernah menjalin cinta dengan rakan sekerjanya, tetapi tamat di situ sahaja. Selepas itu tidak ada apa-apa lagi antara mereka berdua. Peristiwa itu berlaku beberapa tahun yang lalu.

Dapatkah kita memaafkan kesalahannya itu?

Perbuatan memaafkan dosa-dosa pasangan kita adalah perbuatan yang sangat besar peranannya dalam mengelakkan krisis rumah tangga. Tetapi bukan semua orang tahu cara-cara yang betul apabila hendak memaafkan pasangan mereka.

Memberi kemaafan adalah suatu perbuatan. Ia adalah suatu perkara yang kita lakukan. Ia adalah suatu tindakan. Jadi, memaafkan tidak cukup dengan niat sahaja.

Proses memaafkan  bukan sesuatu yang hanya melintas dalam hati dan perasaan kita. Perbuatan memaafkan juga bukan sekadar berkata, “Saya maafkan awak.”

Dalam perkahwinan, ada kalanya kita tidak mempunyai pilihan selain daripada memaafkan kesalahan pasangan kita itu, biarpun kesalahan itu sangat menyakiti hati kita.

Apabila kita tidak mahu memaafkan kesalahan suami kita, fikiran kita akan selalu dihantui oleh perkara itu. Setiap kali suami kita pergi bertugas di luar kawasan dan tidak balik ke rumah, setiap kali itu kita tidak dapat tidur malam disebabkan kita ternampak-nampak dia dengan perempuan lain.

Ramai orang tidak mahu memaafkan kesalahan pasangan mereka manakala pada waktu yang sama mereka tidak pula mahu kehilangan pasangannya itu. Sikap ini tidak baik untuk hubungan kita, malah ia amat membahayakan.

Apabila kita tidak mahu memaafkan kesalahan suami kita, ertinya kita mempunyai anggapan seolah-olah suami kita masih 'berhutang' kepada diri kita, disebabkan kesalahan yang pernah dilakukannya.

Kesalahannya itu adalah umpama hutang, dan hutang itu dia belum bayar. Sikap kita yang tidak mahu memaafkan kesalahannya itu menyebabkan kita menyimpan semacam dendam. Kita mahu dia  membayar hutangnya itu.

Selagi kita menganggap suami kita masih berhutang kepada kita, selagi itu kita menyimpan hasrat satu hari nanti kita akan buat sampai suami kita itu terpaksa membayar hutangnya. Maksudnya, dalam rancangan balas dendam itu, kita menyimpan niat mahu buat sampai suami kita merasai apa yang kita sendiri sedang rasai sekarang.

Ertinya, selagi kita tidak mahu memaafkan kesalahan suami kita itu, selagi itulah buku catatan kita menunjukkan hutang suami kita belum dibayar. Maka, selagi itu  kita menyimpan dendam.

Sikap kita yang tidak mahu memaafkan kesalahan suami, tetapi pada masa yang sama kita tidak pula mahu berpisah, sikap ini adalah berisiko tinggi. Ia menyebabkan kita dan suami kita tidak dapat dapat berfungsi sebagai sepasangan suami isteri.

Sepasang suami isteri berfungsi bagi memberikan kasih sayang, kemesraan, sokongan, perlindungan dan kerjasama. Itu semua hanya dapat dijalankan dengan baik apabila hati masing-masing seronok.

Tetapi suami yang tahu bahawa kesalahannya belum dimaafkan, dia tidak akan melayan kita dengan  mesra dan baik. Dia tidak mungkin berasa seronok dengan keadaan di mana dia terus dilayan sebagai seorang yang bersalah. Akibatnya dia tidak berasa seronok, dan tidak puas hati dengan perhubungannya dengan kita.

Dalam keadaan seperti itu, terciptalah dua unsur yang sangat membahayakan perkahwinan kita:

i. Sikap kita yang tidak mahu memaafkan kesalahan suami.
ii. Sikap suami kita yang kecewa kerana dirinya dilayan sebagai seorang pesalah.

Gabungan dua sikap itu akan mencetuskan konflik demi konflik dari masa ke masa.
Apabila konflik sering berlaku antara kita dengan suami, akibatnya suami kita akan hilang harapan kita akan memaafkan kesalahannya.

Perasaan hilang harapan adalah sangat membahayakan perkahwinan.

Orang yang hilang harapan terdorong pergi mencari hubungan lain yang lebih bermakna. Dia mahu  melupakan sahaja kesalahan lalunya, yang dirasakannya sampai bila-bila takkan kita maafkan.

------

NOTA: Ini adalah contoh skrip CD audio yang akan saya rakamkan. Tuan yang berminat menempah CD ini, mohon tinggalkan nama dan alamat emel tuan dalam kotak komen.

Bahasa Beracun 1


Bahasa yang kita gunakan sehari-hari boleh berfungsi secara positif mahupun negatif.

Dari satu segi, bahasa berfungsi sebagai alat menjadikan diri kita seorang yang disukai, seorang yang popular dan seorang yang dikasihi oleh orang-orang di sekeliling kita, baik di tempat kerja mahupun di rumah.

Dengan menggunakan bahasa yang betul, orang suka mendengar kata-kata yang kita ucapkan. Mereka suka berkawan, bergaul dan bekerja dengan kita. Mereka juga akan bersikap pemurah dalam memberikan kata-kata pujian dan penghargaan kepada kita.

Orang yang popular di tempat kerja, mereka tidak mempunyai musuh dan pesaing. Disebabkan mereka popular, mereka mudah mendapatkan bantuan dan kerjasama daripada rakan-rakan sekerja, oleh itu prestasi mereka lebih tinggi, dengan demikian mereka lebih mudah maju dalam kerjayanya.

Dari sudut yang lain, bahasa yang kita gunakan boleh menyebabkan kita gagal naik pangkat, gagal bisnes, diri kita dibenci orang, disisihkan, malah dipulaukan.

Dalam setiap bahasa, ada jenis-jenis perkataan dan ungkapan yang disebut sebagai  'bahasa beracun'. Contoh bahasa beracun yang sering kita dengar ditempat kerja adalah frasa 'tidak bertanggungjawab'.  Bayangkan apa kesannya apabila seorang ketua berkata kepada orang bawahannya, “Awak tidak bertanggungjawab.”
Bahasa beracun lebih-lebih lagi berbahaya apabila digunakan dalam percakapan suami isteri.

Contoh-contoh bahasa beracun adalah:

tidak bertanggungjawab
lupa tanggungjawab
tak boleh diharapkan 
tak guna
buat sakit hati sahaja
tidak bertimbang rasa
tidak bersyukur
lupa budi orang
tak pernah ingat
pentingkan diri sendiri
cakap pun tak guna

buat pekak sahaja
iyalah, awak sahaja yang betul
tak fikir orang lain
fikir diri awak sahaja
tidak sedar diri
itu pun tak tahukah
jangan jadi bodoh
lantaklah
mengarutlah
awak punya pasallah
langsung tak guna
satu sen tak guna
sia-sia sahaja


Dalam komunikasi rumahtangga, lazimnya perempuan lebih banyak mengucapkan kata-kata yang beracun. Ia berlaku pabila perempuan sedang berasa sangat tidak puas hati terhadap sikap dan tingkah laku suaminya.

“Awak tidak bertanggungjawab.”
“Awak tidak bertimbang rasa.”
“Awak tidak bersyukur.”
“Saya tahu, awak sudah bosan dengan saya.”
“Lelaki tidak sedar diri!”
“Kalau awak hendak kahwin lagi, ceraikan saya!”
“Kalau awak berani, cubalah!”
“Awak sudah lupa budi saya.”
“Awak tidak boleh diharap.”
“Awak awak dah tak macam dulu.”
“Awak ada perempuan lain.”
“Awak sudah bosan pada saya.”
“Awak pergilah cari lain.”
“Mentang-mentang saya dah tua.”
“Kalau berani, ceraikan saya!”
dan banyak lagi.

Bahasa alat alat yang paling efektif bagi membina dan mengukuhkan tali perkahwinan, serta bagi menguatkan lagi ikatan kasih sayang antara suami isteri.

Tetapi, dalam keadaan kecewa dan marah, apabila bercakap, mereka mungkin menggunakan bahasa yang merobohkan hubungan baik suami isteri, dan yang mencipta kebencian terhadap satu sama lain.

Penggunaan perkataan-perkataan yang beracun oleh isteri sangat menyakiti hati suami. Suami yang hatinya disakiti biasanya akan membalas dengan bahasa yang beracun juga:

“Tutup mulut awak!”
“Diam! Saya kata, diam!”
“Awak ini, tidak penat-penat berleter.”
“Pekak telinga saya.”
“Membebel tidak habis-habis!”
“Jangan buat bisinglah!”
“Tidak tahu diamkah?”
“Sudahlah!”
“Awak tidak tahu malukah pada jiran?”


------

NOTA: Ini adalah contoh skrip CD audio yang akan saya rakamkan. Tuan yang berminat menempah CD ini, mohon tinggalkan nama dan alamat emel tuan dalam kotak komen.

Bahasa Beracun 2

Bahasa Sempurna

Bahasa beracun adalah ayat-ayat yang menyebabkan orang sakit hati apabila mendengarnya. Perasaan sakit hati itu sangat membahayakan perhubungan. Ia juga mudah mencetuskan sikap defensif.

Bahasa beracun lebih banyak diucapkan oleh perempuan berbanding lelaki. Ayat-ayat beracun cenderung diucapkan apabila berlaku masalah.

Bahasa beracun jenis yang kedua ini disebut 'bahasa perfektif' atau 'bahasa sempurna.'

Contoh ayat-ayat bahasa perfektif:

a. "Melayu pemalas." = Semua orang Melayu, tiap-tiap orang Melayu, malas-malas belaka.

b. "Cina pandai berniaga." = Tidak ada, walau satu orang pun, orang Cina yang bodoh berniaga.

c. “Awak asyik fikir diri awak sahaja.” = Dia sentiasa, pada setiap saat, setiap detik, setiap minit, setiap masa, hanya memikirkan dirinya sendiri sahaja.

d. “Awak memang macam itu.” = Dia sentiasa, setiap saat, setiap detik, setiap ketika, setiap masa, berkelakuan begitu.

Dalam kehidupan realiti, lazimnya, kita hanya melakukan sesuatu kesilapan dan kesalahan itu satu kali sahaja. Sebagai contoh, kita terlupa membayar bil elekttik sehingga bekalan dipotong.

Hanya sekali itu sahaja kita terlupa membayar sampai berlaku kesulitan itu bekalan dipotong. Tidaklah banyak kali, apatah lagi berkali-kali, kita terlupa membayar bil elektrik sehingga bekalan dipotong. Apatah lagi sentiasa terlupa membayar bil elektrik sehingga sentiasa dipotong bekalannya.

Namun, isterinya kita berkata: “Awak ni, asyik lupa sahaja.” Jelaslah kata-kata si isteri itu adalah tuduhan yang tidak benar.

Ayat-ayat perfektif membawa makna 'semunya', 'sentiasa', 'serba-serbi', 'tidak pernah tidak', 'tanpa kecuali langsung'. 

“Awak tak pernah ingat.”
“Abang memang macam itu!”
“Memang sudah perangai abang.”
“Awak memang tidak ingat isteri di rumah.”
“Abang selalu ingat diri abang sendiri.”
“Awak tidak pernah peduli apa perasaan saya.”
“Awak asyik pentingkan diri awak saja.”
“Awak sentiasa lupa.”

Ayat-ayat perfektif sangat menyakitkan hati kerana ayat-ayat itu terang-terang mengandungi tuduhan yang tidak benar.

Dalam bahasa Inggeris ayat beracun jenis ini menggunakan perkataan 'always' dan 'never'.

------

NOTA: Ini adalah contoh skrip CD audio yang akan saya rakamkan. Tuan yang berminat menempah CD ini, mohon tinggalkan nama dan alamat emel tuan dalam kotak komen.
 

Bahasa Beracun 3


Ayat Tuduhan Halus

Apa jua bentuk tuduhan adalah membahayakan hubungan.

Tuduhan mungkin diucapkan dengan menggunakan ayat tuduhan yang nyata, seperti:

"Awak bersalah."
"Ini semua salah awak."
"Itu memang salah awak."

"Mengapa awak buat salah itu?"

Tuduhan juga boleh diucapkan secara halus. Namun, walaupun halus, orang yang dituduh tetap terasa dirinya dituduh.

Ayat-ayat di bawah ini adalah ayat-ayat tuduhan halus. Sekali dengar, seolah-olah ayat itu adalah ayat tanya, bukan ayat tuduhan. Namun, di sebalik pertanyaan itu terselindung tuduhan.

Jangan sekali-kali memulakan ayat dengan menggunakan perkataan 'kenapa.'

“Kenapa balik lambat?” (SALAH)
“Kenapa tidak cakap dulu?” (SALAH)
“Kenapa awak tak macam orang lain?” (SALAH)
“Kenapa awak tidak minta izin saya dulu?” (SALAH)
“Kenapa pulak saya tidak boleh tanya?” (SALAH)
“Kenapa tak telefon saya?” (SALAH)

1. Di sebalik ayat-ayat 'kenapa' adalah tuduhan orang itu melakukan kesalahan.

“Kenapa balik lambat?”
= balik lambat adalah suatu kesalahan
"Kenapa tak cakap dulu?" = tidak cakap dulu adalah suatu kesalahan
"Kenapa tak telefon?" = tidak menelfon adalah suatu kesalahan
"Kenapa tak beli?" = tidak membeli adalah suatu kedsalahan

2. Jika ayat itu diucapkan oleh perempuan kepada lelaki, ia menunjukkan perempuan itu:

a. Dia percaya dia berhak mempersoalkan tindakan lelaki itu.
b. Dia mempunyai kuasa ke atas lelaki itu.

Ayat seperti itu adalah ayat beracun. Ia menyebabkan orang yang ditanya berasa dirinya dituduh dan dipersalahkan, lalu hatinya menjadi keras. Dia erdorong menjawab secara defensif, yakni membela dirinya.

Apabila seseorang itu menjawab dengan defensif, lazimnya jawapannya akan menyakitkan hati orang yang mendengar.

Pertanyaan menuduh: “Kenapa balik lambat?”
Jawapan defensif: "Kalau saya balik lambat, kenapa?"

Pertanyaan menuduh: "Kenapa tak cakap dulu?"
Jawapan defensif: "Eh! Awak siapa? Kenapa pula saya perlu cakap kepada awak dulu?"
 

Pertanyaan menuduh: "Kenapa tak telefon?"
Jawapan defensif: "Saya punya sukalah, nak telefon awak ataupun tidak."

Pertanyaan menuduh:  "Kenapa tak beli?"
Jawapan defensif: "Awak belilah sendiri."

Dalam dialog seperti itu, pertanyaan menuduh itu menyakiti hati orang yang ditanya. Disebabkan hatinya sakit, dia menjawab dengan mengucapkan jawapan defensif yang juga menyaktikan hati orang yang bertanya.

------

NOTA: Ini adalah contoh skrip CD audio yang akan saya rakamkan. Tuan yang berminat menempah CD ini, mohon tinggalkan nama dan alamat emel tuan dalam kotak komen. 

Bahasa Beracun 4


Bahasa Awak

Berhati-hati apabila bercakap dengan menggunakan perkataan 'awak'. Ayat-ayat yang menggunakan perkataan 'awak' disebut dengan istilah 'ayat awak'.

Ayat-ayat awak dalah satu lagi jenis bahasa beracun. Ini kerana ayat awak boleh mengandung unsur tuduhan dan unsur mempersalahkan orang itu.

Bercakap menggunakan bahasa awak mendorong orang itu bersikap defensif.

"Awak tak tahukah?"
"Itulah,... awak!"
"Awak tak datang cepat, kenapa?"
"Kenapa awak tak datang kerja semalam?"
"Awak kenalah datang cepat." 

Di tempat kerja, lain-lain perkataan yang membawa makna 'awak' adalah:

a. panggilan sapaan seperti 'pakcik', 'kakak' dan 'abang'
b. panggilan nama seperti 'Mat', 'Din', 'Liza', 'Mimi'
c. kata gantinama 'kamu', 'engkau', dan 'you'.

"Kenapa pakcik tak pakai kasut keselamatan?"
"Kakak tak tahukah kakak kena datang kerja semalam?"
"Din kenalah bertanggungjawab."
"You yang buat kerja itu, youlah yang selesaikan."

Dalam hubungan peribadi, bahasa awak lebih membahayakan. Ini kerana unsur emosi lebih kuat dalam hubungan peribadi, terutamanya dalam hubungan suami isteri.

Awak tak fikirkah apa perasaan saya.” 
Awak tak patut” 
Awak sengaja lupa.” 
Awak kata awak sayang saya, mana buktinya?”
Awak tidak ada hati perut.”

"Abang memang macam itu..."
"Ini semua abang punya pasal."
"Abang tak nampakkah saya sibuk!"
"Abang tak peduli perasaan saya."
"Abang tak boleh buat macam itu."

"You nak balik pukul berapa?"
"You kata nak ambil I pukul lapan. Ini dah pukul sembilan!"
"I tak sukalah you buat macam ini."
"You asyik fikir diri you sendiri sahaja."
"Apa you buat, selalu balik lambat?"

------

NOTA: Ini adalah contoh skrip CD audio yang akan saya rakamkan. Tuan yang berminat menempah CD ini, mohon tinggalkan nama dan alamat emel tuan dalam kotak komen. 

Bahasa Beracun 5

Bahasa Pantang

Bahasa beracun yang paling berbahaya adalah kata-kata yang sengaja menyentuh pantang larang suami. Sebagai contoh, isteri menyebut nama emak bapak dan adik beradik suami:

Emak awak memang tidak suka saya.”
Bapak awak pun sama sahaja perangainya macam awak.”
Adik beradik awak pun satu. Suka minta duit.”
“Memang sudah keturunan awak suka kahwin banyak.”
Bangsa awak memang tidak guna.”

Permainan menyakiti hati suami adalah suatu permainan yang hanya ada satu sahaja keputusan akhirnya, iaitu merugikan diri isteri sendiri.

Ramai suami tidak mahu membalas perbuatan isteri yang bercakap menggunakan bahasa beracun dengan cara-cara yang didorong oleh hati yang sakit. Jadi ramai suami diam sahaja. Namun perbuatan diam itu pun sudah cukup bagi menyeksa batin isteri.

------

NOTA: Ini adalah contoh skrip CD audio yang akan saya rakamkan. Tuan yang berminat menempah CD ini, mohon tinggalkan nama dan alamat emel tuan dalam kotak komen. 
 

Bahasa Beracun 6


Bahasa Bersalah

Setiap orang mempunyai, kalau tidak banyak, sedikit rasa bersalah terhadap orang-orang yang sangat penting dalam hidup mereka.

Di tempat kerja, kita mungkin menyimpan rasa bersalah terhadap majikan ataupun rakan sekerja apabila kita tidak dapat memberikan yang terbaik, sedangkan kita menikmati bonus dan komisen yang sama banyak dengan rakan-rakan, padahal mereka memberikan lebih banyak.

Dalam keluarga, kita mungkin menyimpan rasa bersalah terhadap ibu bapa, ataupun terhadap adik beradik lain, kerana kita tidak dapat menjalankan tanggungjawab kita sebagaimana yang sepatutnya.

Di rumah, kita mungkin menyimpan rasa bersalah terhadap isteri, ataupun terhadap anak-anak kerana kita sangat sibuk dengan kerja-kerja di luar rumah.

Bahasa beracun jenis ini adalah ayat-ayat yang sengaja diucapkan bagi menimbulkan rasa bersalah di dalam diri orang itu.

Awak lebih pentingkan kerja dari keluarga.”
“Awak memang tidak sayang anak.”
“Awak sengaja lupakan janji.”
“Awak lebih sayang duit dari anak isteri.”
“Awak tidak pedulikan rumah tangga.”
“Awak memang lebihkan emak awak daripada saya.”
“Awak tidak pernah ambil peduli hal anak-anak.”
“Awak tidak pernah ada di rumah bila anak-anak perlukan awak.”


------

NOTA: Ini adalah contoh skrip CD audio yang akan saya rakamkan. Tuan yang berminat menempah CD ini, mohon tinggalkan nama dan alamat emel tuan dalam kotak komen. 
 


Perempuan dan Masalah


Semua orang menghadapi masalah. Di tempat kerja, semua pekerja, baik pekerja lelaki mahupun perempuan, berkongsi masalah-masalah kerja yang sama dan serupa, mengikut situasi pekerjaan masing-masing. KPI pekerja lelaki dan pekerja perempuan sama sahaja. Beban tugas dan tanggungjawab jawatan yang mereka sandang pun sama sahaja.

Di tempat kerja, pekerja lelaki dan perempuan belajar menyelesaikan masalah menggunakan strategi, teknik dan prosedur yang sama.

Walau bagaimanapun, dalam menyelesaikan masalah peribadi, keadaannya berbeza sekali.

Pakar-pakar psikologi mendapati cara-cara dan strategi yang digunakan oleh lelaki dan perempuan apabila mereka menangani masalah peribadi adalah berbeza. Perbezaan strategi yang mereka gunakan itu muncul dalam gaya komunikasi mereka. Perbezaan itu juga sering menimbulkan masalah komunikasi antara suami dan isteri.

Kajian-kajian pakar psikologi mendapati, apabila perempuan menghadapi masalah peribadi, mereka suka bercakap berkenaan masalah itu dengan tidak mempunyai niat hendak mencari jalan bagaimana masalah itu patut diselesaikan. Inilah yang ramai lelaki tidak faham.

Bagi lelaki, adalah tidak masuk akal perbuatan bercakap berkenaan masalah kalau tidak dengan niat mahu menyelesaikan masalah itu.

Bagi perempuan, salah satu cara menghadapi masalah adalah dengan bercakap dan bercakap mengenai masalah itu, dengan tidak payah menyelesaikannya. Bagi mereka, bercakap-cakap itu sendiri adalah penyelesaian.

Apabila perempuan dapat bercakap sampai puas berkenaan masalah yang mereka hadapi, dada mereka akan berasa lapang dan mereka bolehlah meneruskan hidup macam biasa.

Lelaki tidak seperti perempuan. Lelaki tidak tahu bahawa apabila perempuan bercakap berkenaan masalah, biasanya mereka bukan mahu supaya masalah itu diselesaikan. Mereka sekadar mahu bercakap-cakap mengenai masalahnya sahaja!

Disebabkan lelaki tidak tahu hal itu, maka kebanyakan lelaki bosan apabila isteri mereka mula mengadu berkenaan masalah mereka.

Bagi lelaki, setiap masalah mesti dicarikan penyelesiannya. Jadi, apabila isteri mereka mengadu tentang masalah yang mereka hadapi, lelaki cepat-cepat berfikir lalu memberikan cadangan bagaimana masalah isterinya itu dapat diselesaikan.

Bagi lelaki, itulah tindakan yang paling logik. Isterinya menghadapi masalah, maka logiklah dia membantu memikirkan idea bagaimana masalah isterinya itu boleh diselesaikan.

Dan bagi lelaki, itulah cara yang paling baik bagi menunjukkan kasih sayang terhadap isteri yang sedang mengalami masalah. Akibatnya, belum sempat isterinya bercakap banyak berkenaan masalahnya, lelaki sudah cepat-cepat mengusulkan bagaimana masalah itu patut diselesaikan. Inilah yang menyakitkan hati perempuan apabila bercakap tentang masalah dengan suami mereka. Lain yang diharap, lain yang didapat.

Antara rungutan yang paling banyak dikemukakan oleh perempuan terhadap suami mereka adalah, suami mereka tidak berminat mendengar masalahnya.

Cara-cara yang dilakukan oleh lelaki apabila tidak berminat hendak mendengar masalah isterinya adalah dengan melakukan 3 perkara ini:

a. Dia memang tidak mahu mendengar langsung, lalu dia pun berpura-pura tidak mendengar isterinya bercakap.

b. Dia mendengar, tetapi dengan sambil lewa sahaja, macam hendak tak hendak.

c. Dia cepat-cepat memberi cadangan apa yang patut dibuat oleh isterinya, walaupun si isteri baru bercakap dua tiga ayat.

Perempuan suka bercakap-cakap tentang masalah mereka. Masalah-masalah yang kecil-kecil pun mereka suka bercakap-cakap mengenainya. Mereka berasa puas dapat bercakap-cakap berkenaan masalah-masalah kecil.

Lelaki pula mendapat rasa puas apabila mereka dapat menyelesaikan masalah mereka. Bagi lelaki, kalau ada masalah, cara yang betul ialah menyelesaikan masalah itu, bukan bercakap-cakap kosong mengenainya. Semakin besar masalah yang berjaya diselesaikannya, semakin lelaki puas hati.

Itulah sebabnya apabila isteri mereka mengadu dia mempunyai masalah, lelaki cepat-cepat memberi nasihat kepada isterinya, ataupun memberi idea bagaimana masalah itu patut diselesaikannya. Padahal isterinya bukan mahu nasihat ataupun sebarang idea.

Disebabkan perempuan suka bercakap mengenai masalah-masalah kecil, suami mereka suka merendah-rendahkan tabiat mereka itu. Sikap tersebut tergambar di dalam kata-kata yang diucapkannya, yang lazimnya berbunyi nasihat kepada si isteri:

"Biarkan sahajalah. Jangan dilayan."
"Benda tak penting. Buat apa difikirkan."
"Besok lusa, perkara itu selesai sendiri."
"Takkan masalah kecil macam itu pun awak nak ambil berat."

Di sebalik nasihat itu ialah pandangan yang merendah-rendahkan isterinya. Perbuatan seperti itu sangat menyakitkan hati perempuan. Itu sebabnya ramai isteri geram pada suami mereka.

Bagi perempuan, tidak ada 'masalah besar' ataupun 'masalah kecil'. Semua masalah adalah masalah. Tetapi lelaki lain, mereka memang membezakan jenis-jenis masalah, dan cara-cara mereka menangani masalah itu ditentukan sama ada masalah itu dianggap sebagai masalah penting, serius, remeh ataupun tidak.

Bagi para isteri, aktiviti bercakap-cakap dan berbual-bual adalah intipati yang paling penting peranannya dalam bercinta dan berkasih-sayang. Inilah yang kebanyakan lelaki tidak mengerti.

Bagi perempuan, apabila suami mereka tidak mahu melayan mereka dengan cara mendengar, bercakap-cakap dan berbual-bual berkenaan masalah yang mereka adukan, itu bermakna mereka tidak dapat mengecap salah satu nikmat besar dalam perkahwinan.

Bagi perempuan, aktiviti bercakap-cakap dan berbual-bual adalah lebih daripada setakat bercakap-cakap dan berbual-bual sahaja. Ia adalah cara mereka menjalin dan memupuk hubungan. Jikalau hubungan itu adalah hubungan cinta, ia adalah cara mereka menjalin dan memupuk cinta. Ia adalah cara yang mereka gunakan untuk mendalamkan lagi rasa komitmen dan keintiman.

Kebanyakan suami tidak memahami bahawa apabila isteri mereka mengadukan masalah, yang mereka mahu ialah supaya suami membuktikan cinta dan kasih sayangnya kepada mereka. Caranya ialah: layanlah si isteri bercakap sampai puas berkenaan masalahnya!

------

NOTA: Ini adalah contoh skrip CD audio yang akan saya rakamkan. Tuan yang berminat menempah CD ini, mohon tinggalkan nama dan alamat emel tuan dalam kotak komen.